Categories
GLOBAL

140 terbunuh serangan udara pada majlis pengebumian di Yaman

NEW YORK 9 OKT: Angka terkini korban serangan udara yang menyasarkan sebuah majlis pengebumian di Sanaa, Yaman semalam meningkat kepada lebih 140 orang manakala lebih 525 lagi cedera, lapor pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi berita antarabangsa AFP berkata, menurut PBB pemberontak Houthi menyalahkan pakatan diketuai Arab Saudi ke atas serangan kejam itu.

Penyelaras Kemanusiaan PBB Yaman, Jamie McGoldrick, berkata petugas bantuan amat terkejut dan kesal dengan serangan yang menyasarkan sebuah dewan komuniti di ibu kota Sanaa ketika mereka yang berkabung berkumpul.

“Laporan awal pegawai perubatan di Sanaa memberitahu bahawa lebih 140 terkorban manakala lebih 525 lagi cedera,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu pegawai bantuan PBB menyeru siasatan segera dijalankan dan berkata komuniti antarabangsa perlu meletakkan lebih tekanan bagi memastikan keselamatan orang awam dilindungi.

EZY