Categories
SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk dipindah meningkat 482 mangsa

SHAH ALAM 18 OKT: Jumlah penduduk dipindahkan ekoran fenomena air pasang besar meningkat kepada 482 orang pagi ini berbanding 459 orang malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor, peningkatan itu membabitkan penduduk Kampung Batu 5, Kapar, Klang, yang sebahagian besarnya ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali.

Katanya, sehingga jam 9 pagi ini jumlah mangsa yang berada di pusat itu adalah sebanyak 152 orang berbanding 133 malam tadi.

Selain Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali di Kapar, terdapat empat lagi pusat pemindahan dibuka di negeri ini ekoran fenomena tersebut iaitu Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda juga di Kapar yang menempatkan 236 orang, Dewan Seri Sekinchan (dua orang), Dewan Sungai Air Tawar (63 orang) dan Dewan Parit Baru (29 orang) di Sabak Bernam.

3Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor Ahmad Afandi Mohamad, dalam kenyataan berkata ban Sungai Keramat yang pecah di Kampung Batu 5 akibat air pasang besar awal pagi tadi akan dibaiki serta merta dan kawasan itu kini dalam pemantauan agensi keselamatan.

Di daerah Sabak Bernam pula, Ahmad Afandi berkata kawasan seperti Sungai Lang, Pantai Batu 23 dan Kampung Nelayan Bagan Nakhoda Omar turut dinaiki air akibat fenomena itu, namun keadaannya terkawal dan air mulai surut.

“Terdapat juga limpahan air laut di pesisiran Pantai Kelanang, Kuala Langat namun keadaan masih selamat,” katanya dipetik BERNAMA.

EZY