Categories
NASIONAL

GST turut bebankan pelajar luar negara

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Pelajar di luar negara turut menerima tempias atas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) oleh Kerajaan Persekutuan bermula 1 April 2015.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata beliau mendapat pelbagai rungutan daripada pelajar yang kini menuntut di luar negara mengenainya.

“Ini juga membebankan pelajar kita di luar negara dan yang ke luar negara. Banyak sungutan (diterima),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan soalan tambahan mengenai GST dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dalam jawapan awal berkata Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hasrat untuk membatalkan pelaksanaan GST sejak ia diperkenalkan dengan kadar enam peratus.

Bagi 2016 sehingga Oktober, Kerajaan Persekutuan sudah mengutip RM29.34 bilion daripada hasil cukai GST.

EZY