Categories
SUKANKINI

Andik tekad bantu Selangor benam T-Team

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG, 14 OKT: Kelebihan dimiliki tidak melekakan pemain Selangor dalam usaha mencatat kemenangan ketika berdepan T-Team pada aksi separuh akhir kedua di Kuala terengganu, malam esok.

Pemain import, Andik Vermanshah, berkata sememangnya Selangor membuat persediaan rapi bagi perlawanan itu dan akan bekerja keras agar tidak pulang hampa.

“Walaupun sudah menang (mengatasi lawan) tetapi saya anggap kita kalah dahulu kerana kita perlu menghasilkan gol.

“Ini kerana mereka (T-Team) perlukan satu gol maka kita harus berhati-hati dan saya merasakan belum selesa kerana mereka pasukan yang bagus,” katanya kepada SelangorKini.

andikAndik ditemui sebelum berlepas bersama rakan sepasukannya ke Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Selangor mengatasi T-Team dengan agregat 2 – 1 selepas menang di Stadium Shah Alam, 1 Oktober lalu.

Pemain kebangsaan Indonesia itu juga gembira kerana pemain The Red Giants kini bebas dari kecederaan dalam menghadapi lawan di Stadium Sultan Ismail nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

Andik juga tidak memikirkan tugasan selaku ketua pasukan dan bersedia dengan setiap keputusan dibuat jurulatih, K Gunalan.

“Sama ada saya ketua pasukan atau tidak, tidak penting kerana apa yang utama saya perlu bermain bersungguh-sungguh untuk kemenangan pasukan.

“Menang alhamdulillah, seri juga sama namun yang pasti jangan kalah,” katanya.

Andik dilantik ketua pasukan apabila Gunalan mengambilalih pasukan daripada Zainal Abdin Hassan tambahan dengan kecederaan menimpa ketua pasukan, Shahrom Kalam.

Bagaimanapun, Shahrom kini bebas dari kecederaan dan dipanggil menyertai pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Singapura dan Afghanistan, baru-baru ini.

-nR-