Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2017 fokus martabat ekonomi rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 OKT: Pembentangan Belanjawan 2017 pada penghujung Oktober ini bakal memberi fokus kepada isu kebajikan juga martabat ruang ekonomi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu ekoran golongan terbabit dibebani pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang terus menghimpit ekonomi rakyat.

“Fokus belanjawan kali ini tentu sekali untuk mengangkat martabat kumpulan B40 juga golongan berpendapatan rendah dan sederhana ekoran pelaksanaan GST menguncupkan pendapatan isi rumah.

“Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti sebarang usaha dan inisiatif tertentu yang akan diumumkan nanti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, selepas menunaikan solat Jumaat, di sini.

whatsapp-image-2016-10-07-at-3-31-52-pmHadir sama, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan kesihatan dan pendidikan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2016 lalu, Kerajaan Negeri giat melaksanakan dasar pembangunan Smart Selangor ke arah merealisasikan Selangor sebagai ‘smart state’.

-AA-