Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2017: Fokuskan pembangunan desa, masjid & institusi pendidikan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 5 OKT: Projek pembangunan desa, masjid serta institusi pendidikan sekolah antara yang menjadi fokus utama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dalam belanjawan 2017.

Yunus berkata, beliau mengharapkan peruntukan  munasabah diperuntukan bagi pembangunan desa dan institusi pendidikan sekolah serta masjid.

“Peranan masjid sebenarnya penting dan ia harus diperkasakan kerana kepelbagaian fungsinya yang boleh direalisasikan sebagai pusat transformasi masyarakat.

“Pemerkasaan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah kepada umat Islam juga harus diperteguhkan melalui beberapa program yang akan dirancang,” katanya kepada SelangorKini

Katanya, beliau juga berharap peruntukan bagi portfolio hal ehwal Islam dan pembangunan desa dan kampung tradisi juga ditambah berdasar keperluan semasa agar pembangunan sosial dan ekonomi desa dapat dijana dengan baik.

Selain itu, beliau juga mahu belanjawan 2017 turut mengambil kira dari segi keselamatan seperti penyelenggaraan jalan, kemudahan awam termasuk balai raya dan gerai di desa harus diberi keutamaan.

EZY