Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBSA: Menara telekomunikasi haram diturunkan bukan menara azan

SHAH ALAM 5 OKT:  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menegaskan bahawa struktur diturunkan di kawasan Surau Ar-Raudah, Setia Alam di sini bukanlah menara surau sebaliknya struktur telekomunikasi yang didirikan tanpa kebenaran.

Menurut bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, pihaknya telah merujuk pembinaan struktur telekomunikasi tanpa kebenaran itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang memaklumkan bahawa pembinaan itu juga tidak mendapat kebenaran daripada JAIS.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat penyelarasan mengenai tindakan untuk menurunkan struktur telekomunikasi tanpa kebenaran itu diadakan melibatkan wakil JAIS, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Jawatankuasa Surau Ar-Raudhah, Persatuan Penduduk Setia Indah 11 dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam Zon 21.

Katanya hasil mesyuarat pihak MBSA telah meminta pemilik struktur telekomunikasi tersebut untuk menurunkan struktur berkenaan, namun pemiliknya gagal berbuat demikian.

Menurut MBSA, operasi yang diadakan semalam adalah rentetan daripada kegagalan pemilik struktur telekomunikasi berkenaan menurunkan struktur berkenaan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

 

SHAH ALAM 04 OCTOBER 2016. Kontraktor melakukan kerja-kerja merobohkan menara telco di Seksyen U13, Shah Alam. STR/MUHAMMAD SULAIMAN

“Justeru, MBSA berharap melalui penjelasan ini, dapat memberi gambaran dan maklumat tepat serta betul kepada masyarakat berhubung isu penurunan struktur telekomunikasi yang dibina tanpa kebenaran.

“Ini kerana MBSA adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sentiasa mengamalkan dan berpegang kepada konsep integriti serta telus dan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan cekap dan efisien kepada orang ramai,” katanya.

Beberapa media melaporkan MBSA bertindak merobohkan sebuah menara azan di surau berkenaan atas alasan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Kerja-kerja merobohkan menara setinggi kira-kira 30 meter itu dibuat menggunakan kren kira-kira jam 9 pagi tadi semalam.

Sementara itu Ahli Majlis MBSA, Muhammad Shakir Ameer, berkata  laporan media Utusan Online berkenaan dakwaan ia menara azan adalah berbaur fitnah dan memperlekehkan kakitangan awam dari MBSA yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik.

utusan“Saya terkejut Utusan Online tergamak memaparkan tajuk sedemikian rupa dengan niat mempolitikkan dan memburukkan perkhidmatan awam yang hanya menjalankan tugas diamanahkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau mengutuk sekeras-kerasnya laporan tersebut dan menuntut Utusan Online menarik balik laporan dan meminta maaf kepada MBSA serta kakitangan awam serta-merta.

“Kami dari MBSA tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika Utusan Online gagal membuat seperti dituntut,” katanya.

EZY