Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2017: Fokuskan pembangunan desa, masjid & institusi pendidikan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 5 OKT: Projek pembangunan desa, masjid serta institusi pendidikan sekolah antara yang menjadi fokus utama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dalam belanjawan 2017.

Yunus berkata, beliau mengharapkan peruntukan  munasabah diperuntukan bagi pembangunan desa dan institusi pendidikan sekolah serta masjid.

“Peranan masjid sebenarnya penting dan ia harus diperkasakan kerana kepelbagaian fungsinya yang boleh direalisasikan sebagai pusat transformasi masyarakat.

“Pemerkasaan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah kepada umat Islam juga harus diperteguhkan melalui beberapa program yang akan dirancang,” katanya kepada SelangorKini

Katanya, beliau juga berharap peruntukan bagi portfolio hal ehwal Islam dan pembangunan desa dan kampung tradisi juga ditambah berdasar keperluan semasa agar pembangunan sosial dan ekonomi desa dapat dijana dengan baik.

Selain itu, beliau juga mahu belanjawan 2017 turut mengambil kira dari segi keselamatan seperti penyelenggaraan jalan, kemudahan awam termasuk balai raya dan gerai di desa harus diberi keutamaan.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor Akan Bina 10 Mahkamah Syariah

sallehin dun 02 jul 01

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 160.59 juta untuk membina 10 buah Mahkamah Syariah di sekitar Selangor kata Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi.

“10 lokasi itu termasuk bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah yang terletak bersebelahan dengan bangunan Jabatan Agama Islam (Jais) dan Masjid Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya dalam perbahasan titah Sultan hari ini di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sallehen menambah Kerajaan Negeri bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kini dalam tindakan untuk menubuhkan Mahkamah Rendah Syariah Ampang.

“Kertas cadangan kini sedang disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri dalam proses mewujudkan akta pengambilan tanah bagi tapak masjid, surau dan kubur.

“Untuk setakat ini, beberapa proses pewartaan tanah masjid sudah diselesaikan dan ada yang belum. Kita akan melihat sehingga proses itu selesai nanti,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Idris : Pembangunan desa perlu rangkum tiga aspek utama

Ijok DNS

SHAH ALAM, 3 JULAI : Kerajaan Negeri disarankan supaya mengaplikasikan tiga aspek utama dalam usaha memastikan pembangunan di desa adalah seimbang dengan pembangunan di kawasan bandar.

Tiga aspek yang dimaksudkan ialah kesejahteraan, selamat dan sihat, kata Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Jelasnya, untuk mencapai masyarakat yang sejahtera, mutu pendidikan anak-anak di desa seharusnya  ditingkatkan dengan menambah lebih banyak pusat tuisyen yang mengkhusukan tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Di bawah aspek sama katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menggalakkan pelaburan ke desa yang berasaskan pertanian bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada warga desa tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Untuk sektor pendidikan, saya syorkan exco pendidikan mengambil perhatian dengan menubuhkan lebih banyak pusat tuisyen untuk semua peringkat (darjah satu hingga tingkatan lima) supaya mereka mendapat persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan.

“Kerajaan Negeri juga sepatutnya menggalakkan pelaburan ke desa iaitu pelaburan industri yang berasaskan pertanian kerana banyak tanah terbiar di desa yang tidak digunakan,” katanya semasa membahaskan titah DYMM Sultan Selangor dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sementara itu, di bawah aspek kesihatan jelasnya, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membina hospital di kawasan desa bagi memastikan pesakit tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun pembinaan hospital tertakluk di bawah perancangan Kerajaan Pusat, namun tegasnya, Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif awal untuk membina hospital yang boleh memberi rawatan kepada pesakit.

“Terdapat ramai pesakit kronik di kawasan desa yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital berikutan lokasi hospital itu terlalu jauh dari kediaman mereka.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor, pesakit perlu merujuk ke Hospital Sungai Buloh atau Tanjung Karang untuk mendapatkan rawatan sedangkan kondisi mereka sangat kritikal pada waktu itu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu membina hospital canggih, cuma bina yang asas sahaja untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya lagi.

Tambahnya, aspek ketiga iaitu selamat adalah merujuk kepada pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan kampung untuk mengurangkan masalah jenayah.