Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2017: Peruntukan pembangunan dipertingkat

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 28 OKT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membayangkan akan mengumumkan peruntukan besar untuk perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan Selangor 2017.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan program pembangunan diberikan tumpuan terutama aspek pemilikan kediaman pada pembentangan belanjawan, Isnin ini.

“Rumah kediaman adalah kepentingan dan hak rakyat di Selangor yang mesti disediakan Kerajaan Negeri peduli rakyat.

“Secara ringkas saya ingin menyatakan belanjawan akan datang meletakkan satu sasaran untuk tujuan pembangunan. Lebih besar daripada mengurus.

344a9958“Sejumlah peruntukan yang cukup besar akan diberikan untuk pembangunan kampung-kampung dan desa seluruh Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Penduduk Taman Jenderam Murni.

Katanya, untuk keluar daripada kegawatan ekonomi, belanja pembangunan sepatutnya ditingkatkan bukan seperti Bajet Kerajaan Persekutuan RM260 bilion tetapi hanya memperuntukkan 17.6 peratus bagi perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, kampung-kampung di Selangor perlu membangun seiring dengan bandar besar dan peranannya tidak boleh diperkecilkan.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin turut menyerahkan kunci kediaman kepada 83 penduduk Fasa Satu Taman Jenderam Murni sekaligus mengakhiri penantian lebih 17 tahun.

344a9970Rumah teres satu tingkat berukuran 20×65 dibina menerusi Rancangan Pembesaran Kampung Jenderam Hilir selepas pemaju baru dilantik pada 2011.

Mohamed Azmin turut mengumumkan, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Eizabeth Wong akan mewakili Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk berbincang dengan pemaju dan Orang Asal supaya pembinaan rumah Fasa Kedua dapat dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin turut mengumumkan peruntukan RM200,000 dan menyempurnakan majlis pecah tanah bagi pembinaan Pusat Komuniti di Desa Timah Langat.

-nR-