Categories
NASIONAL

Budaya ‘cash is king’ politik Najib beli maruah rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 3 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa mengamalkan politik wang bagi tujuan mendapatkan pengaruh dan sokongan untuk terus mengekalkan kuasa.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian merujuk amalan ‘cash is king’ kini sudah sebati dalam pentadbiran Najib yang akhirnya menggugat keharmonian dan kestabilan negara.

“Najib memerlukan duit yang banyak untuk membeli menteri, ketua bahagian Umno juga wakil rakyat menerusi pemberian wang RM1 juta setiap seorang.

“Beliau juga percaya semua rakyat Malaysia kalau disogok dengan wang, dia akan sokong kita tetapi pemberian ini haram hasil daripada kegiatan curi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah 1MDB di Simpang Kepayang, Bera Pahang di sini, malam tadi.

img_20161002_232150_289Bercakap lanjut, Tun Mahathir mendedahkan, amalan sedemikian turut berlaku ketika musim kempen pilihan raya dengan tujuan memancing undi masyarakat supaya memilih parti kerajaan.

“Dalam pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kita alami kekalahan kerana politik wang Najib secara terbuka diberikan kepada pengundi.

“Inilah harapan Najib, dia hanya akan sogok wang kepada rakyat dan pengundi kerana Najib percaya ‘cash is king’,” katanya.

Sebelum ini, Najib pernah mengakui prinsip ‘cash is king’ boleh mempengaruhi sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan selepas Tun Mahathir mempertikai pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat berkelayakan.

-AA-