Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wahai isteri pemimpin, contohilah Tun Dr Siti Hasmah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 3 OKT: Isteri pemimpin di negara ini perlu menjadikan Tun Dr Siti Hasmah sebagai ikon dan contoh terbaik untuk terus mendukung pembinaan negara yang lebih sejahtera.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sepanjang 23 tahun mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah negara, imej Siti Hasmah disifatkan lebih bersih di mata seluruh rakyat Malaysia.

“Lihat Tun Dr Siti Hasmah, 23 tahun jadi isteri Perdana Menteri tetapi tidak ambil satu kontrak pun.

“Beliau sentiasa bersama Tun Mahathir mendukung aspirasi pentadbiran negara dan membangunkan Malaysia, tidak seperti yang seorang itu sanggup tumpang suami (atas jawatan) dan kaut hasil negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siri jelajah 1Malaysia Development di Simpang Kepayang, di sini malam tadi yang turut dihadiri Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah.

img_20161002_222848_892Siti Hasmah sebelum ini sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia sebagai individu yang cukup disenangi dengan imej bersih dan tidak pernah terpalit dakwaan negatif.

Tanpa mencampuri urusan Tun Mahathir ketika tampuk pemerintahan dipegang suaminya, Tun Siti Hasmah lebih banyak terlibat dalam program kerakyatan dan pembangunan sosial di seluruh negara.

Atas komitmen itu, beliau menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Srikandi Negara susulan khimdat baktinya dalam pendidikan yang menyumbang kepada kelangsungan penyampaian ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

-AA-

Categories
NASIONAL

Budaya ‘cash is king’ politik Najib beli maruah rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 3 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa mengamalkan politik wang bagi tujuan mendapatkan pengaruh dan sokongan untuk terus mengekalkan kuasa.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian merujuk amalan ‘cash is king’ kini sudah sebati dalam pentadbiran Najib yang akhirnya menggugat keharmonian dan kestabilan negara.

“Najib memerlukan duit yang banyak untuk membeli menteri, ketua bahagian Umno juga wakil rakyat menerusi pemberian wang RM1 juta setiap seorang.

“Beliau juga percaya semua rakyat Malaysia kalau disogok dengan wang, dia akan sokong kita tetapi pemberian ini haram hasil daripada kegiatan curi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah 1MDB di Simpang Kepayang, Bera Pahang di sini, malam tadi.

img_20161002_232150_289Bercakap lanjut, Tun Mahathir mendedahkan, amalan sedemikian turut berlaku ketika musim kempen pilihan raya dengan tujuan memancing undi masyarakat supaya memilih parti kerajaan.

“Dalam pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kita alami kekalahan kerana politik wang Najib secara terbuka diberikan kepada pengundi.

“Inilah harapan Najib, dia hanya akan sogok wang kepada rakyat dan pengundi kerana Najib percaya ‘cash is king’,” katanya.

Sebelum ini, Najib pernah mengakui prinsip ‘cash is king’ boleh mempengaruhi sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan selepas Tun Mahathir mempertikai pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat berkelayakan.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Saifuddin: Skandal Najib ‘popular’ di dunia, cemar imej Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 2 OKT : Imej Malaysia di mata dunia terus tercemar susulan skandal dan penyelewengan membabitkan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, situasi tersebut sekali gus menimbulkan persoalan berhubung kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Isu 1MDB sekarang sudah menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa seantero dunia.

“Persepsi masyarakat luar terhadap Malaysia bukan lagi seperti dulu, kalau dulu kita dihormati kerana ketokohan Tun Mahathir atau Saudara Anwar Ibrahim.

img_20161002_180333_223“Tetapi imej negara kita ini dimalukan ekoran skandal 1MDB dengan negara kita ini dibiarkan ditadbir Najib dan skandal kewangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penerangan ringkas Jelajah 1MDB di Felda Teriang 1, di sini petang ini.

Hadir sama, Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamarudin, Ketua Cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Penerangan Cabang Bera, Hamzah Bawa.

Pendedahan media antarabangsa Wall Street Journal dan Sarawak Report mendedahkan wujudnya unsur penggubalan wang dan korupsi melibatkan kewangan 1MDB.

Susulan daripada itu, Saifuddin berkata 1MDB juga kini didakwa menanggung beban hutang melebihi RM40 bilion yang akhirnya menjerut leher rakyat.

“Jelaslah 1MDB ini hanya meletakkan situasi satu Malaysia dalam bahaya,” katanya.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor model muafakat hadapi PRU, tumbang Umno BN – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 3 SEPT : Selangor menjadi contoh permuafakatan terbaik membabitkan penyatuan komponen gabungan pembangkang di seluruh negeri.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penyatuan tersebut diyakini mampu mengorak langkah menumbangkan Umno Barisan Nasional, menjelang pilihanraya depan.

“Sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat, kita melihat bagaimana Selangor itu menjadi model permuafakatan baru untuk menghadapi pilihanraya.

“Sememangnya kita tiada pilihan lain membentuk muafakat agung dengan matlamat sama menolak Umno BN,” katanya.

JELAJAH 1MDBBeliau bercakap pada Program Jelajah 1MDB di Stadium Mini Sabak Bernam, dengan kehadiran lebih 500 hadirin.

Hadir sama, Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Shamsul Iskandar dan Dr Xavier Jayakumar.

Dalam perkembangan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir, sebagai penggerak utama pelaksanaan program berkenaan.

Bercakap lanjut, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, penyatuan komponen pembangkang turut membuka lembaran baru kepada harapan rakyat terhadap pentadbiran telus dan bersiih.

“Kita mahu semua parti politik pembangkang menjadi rakan kita untuk menyerang BN.

“Saya percaya, jika kita tidak menyusun strategi dengan baik, kejahatan disusun rapi itu akan tumpaskan kebaikan yang kita bina,” katanya.

-nR-