Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Dakwaan Little India suram, motif politik MIC

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Negeri membidas dakwaan keadaan di kawasan Little India yang dikatakan suram, menjelang sambutan perayaan Deepavali.

Exco Kerajaan Negeri, V Ganabatirau berkata, dakwaan sedemikian adalah bersifat politik demi menjatuhkan imej pentadbiran negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah menarik orang ramai berkunjung ke kawasan itu.

img_2659“Di pihak Kerajaan Negeri, kita telah batalkan karnival juga ekspo di Shah Alam dan dipindahkan di belakang Little India dekat Lorong Tingkat berdekatan Jalan Tengku Kelana.

“Malah pada 21 Oktober lalu, penganjuran karnival tersebut mendapat sambutan yang cukup baik, sekali gus membantu peniaga di kawasan berdekatan.

“Jadi, soal tiada kemeriahan di kawasan itu adalah salah dan jelas bermotifkan politik terutama individu yang mendakwa perkara itu adalah ahli MIC sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Usahawan Little India Klang, NP Raman mendakwa kononnya tiada sebarang hiasan dibuat di sepanjang jalan deretan kedai di kawasan Little India.

Lebih memalukan, Raman yang juga Pengarah Urusan Thangaram Jewellers Sdn Bhd yang terletak di jalan itu mendakwa tiada inisiatif dilakukan Kerajaan Negeri untuk mengindahkan Little India sejak memegang kuasa, pada 2008.

Menyelar dakwaan tersebut, Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Alam Shah mendedahkan, Raman sebelum ini adalah individu sama yang membantah penganjuran karnival ekspo di hadapan jalan utama Little India atas alasan gangguan trafik.

“Mengambil maklum bantahan itu, jadi kita pindahkan gerai karnival di belakang premis perniagaan mereka. Saya tidak fikir ia menimbulkan masalah kerana hampir 10,000 pengunjung turut hadir ketika Dato’ Menteri Besar turun ke kawasan itu.

“Jadi, adakah relevan dikatakan kawasan Little India tidak meriah? Mungkin beliau perlu berfikir sebelum keluarkan kenyataan,” sindirnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ganabatirau mendedahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah memasang lampu hiasan perayaan Deepavali di kawasan berkenaan mengikut kelazimannya.

Bagaimanapun, katanya, untuk tahun ini MPK perlu mematuhi beberapa protokol istana bagi memberi laluan kepada pemasyuran Gelaran DYTM Raja Muda Selangor, baru-baru ini.

Katanya, protokol tersebut perlu dibuat susulan laluan Little India merupakan antara jalan masuk ke istana.

-NFN-