Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Isu tanah Kampung Sungai Yu selesai

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 OKT: Isu pembahagian tanah bagi kuota kaum India di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor yang berlarutan sejak 1990-an berjaya diselesaikan apabila 175 lot tanah diagihkan mengikut syarat dan prosedur ditetapkan.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, 153 lot diagihkan kepada kaum India, 22 lot kepada keluarga Melayu, sementara dua lagi kepada kaum Cina yang juga peneroka asal kawasan itu.

Katanya, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan jawatankuasa dipengerusikan Pejabat Tanah dan Galian dan disertai Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ahli Majlis juga wakil Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang.

“Antara syarat utama dikenakan adalah pemohon mestilah tidak memiliki tanah sebelum ini, pendapatan kurang RM3,000, berumur 30 tahun ke atas, sudah berkahwin dan orang asal Kuala Selangor.

“Bagaimanapun, syarat ini tidak terpakai kepada orang yang sudah mengusaha tanah ini bertahun lamanya sejak 90-an lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, ADN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar menyarankan Kerajaan Negeri supaya menjelaskan kekeliruan beberapa isu yang dibangkitkan berkenaan perkara itu.

Antaranya pertikaian ahli majlis yang dikatakan turut mendapat tanah di kampung terbabit.

img_9071Pada masa sama, Ganabatirau berkata, sebidang tanah di kampung itu berjaya diwartakan sebagai tapak kuil bagi kemudahan penduduk.

Katanya, ia ekoran salah seorang pemohon yang terpilih yang juga Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor menolak pemberian tanah itu walaupun beliau menghantar permohonan sejak 1990-an.

Ketika mengulas sejarah pembahagian tanah Kampung Sungai Yu, Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah mengenal pasti tiga tapak untuk diagihkan kepada kaum Melayu, India dan Cina.

“Pembahagian kuota kaum Melayu dan Cina berjaya diselesaikan, sementara pembahagian bagi kaum India tergendala ekoran timbul perbalahan pemimpin parti MIC ketika itu.

“Mereka mempunyai perbezaan pendapat dengan cuba menjadikan hak milik tanah itu untuk mereka dan bukan dipecahkan kepada lot,” katanya.

-AA-