Categories
NASIONAL

Izzah: Tunduk kuasa asing, pendirian Putrajaya dipersoal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Pendirian Kerajaan Malaysia secara konsisten untuk mempertahankan kedaulatan negara khususnya di kawasan perairan negara dipersoal Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Naib Presiden KEADILAN itu berkata, Kerajaan Malaysia terlalu ‘tunduk’ dengan kuasa besar negara luar yang boleh mempengaruhi sentimen kedaulatan negara.

“Realiti kekuatan China itu tidak kita nafikan, namun kita mahukan pendirian Malaysia untuk mencerminkan kedaulatan negara.

Nurul-Izzah“Walaupun sudah wujud tribunal penafian, namun kita perlu ada langkah untuk berhadapan sebarang kemungkinan pencerobohan yang bakal berlaku di negara ini.

“Situasinya, kita terlalu terhutang budi dengan negara luar khususnya China selepas mereka membeli aset dan ikuiti 1MDB,” katanya. pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, di bangunan Parlimen, pagi ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbahasannya mendedahkan wujudnya tribunal dan pemantauan berterusan pihak berkuasa memantau perairan negara secara berterusan.

Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri turut dipersoal Nurul Izzah menerusi insiden pencerobohan kapal luar dan kemasukan pendatang asing yang menceroboh masuk kawasan perairan negara.

“Kita mahu Kerajaan Malaysia tampil menjelaskan sebarang langkah yang diambil bagi memastikan kedaulatan negara kita tidak langsung terpalit,” katanya.

-NFN-