Categories
NASIONAL

Skandal kewangan sana sini, Putrajaya digesa benteras ketirisan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Amalan ketirisan pentadbiran Putrajaya perlu dibendung sebagai jaminan keberkesanan dan manfaat buat rakyat, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, peruntukan yang dikhususkan kepada kementerian perlu disalurkan menerusi program pembangunan sosial dan ekonomi.

“Kita tentunya tidak mahu apabila peruntukan itu tidak disalurkan secara tepat yang akhirnya diseleweng untuk tujuan tertentu.

“Mengambil contoh apa yang berlaku terhadap dana RM100 juta Kementerian Belia dan Sukan dan skandal 1MDB.

wan-azizah“Sudah sampai waktunya kementerian perlu menggunakan peruntukan ini secara profesional demi kelangsungan rakyat,” katanya pada sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, pagi ini.

Wan Azizah berkata, skandal berterusan kementerian di Putrajaya akan terus menghakis kepercayaan masyarakat, sekali gus menyekat aspek pembangunan mereka.

“Ketika skandal RM100 juta itu berlaku, ia sesuatu yang sangat memalukan apabila pencapaian atlet kita lebih baik dalam keadaan ketirisan kementerian itu,” katanya.

Terdahulu, pendedahan mengenai penyelewengan dana RM100 juta bagi tujuan pembangunan sukan Malaysia diseleweng pegawai tertinggi kerajaan.

Pendedahan tersebut, sekali gus menimbulkan intergriti kementerian di Putrajaya dalam usaha meningkatkan prospek sosial dan ekonomi negara.

Bagaimanapun, pentadbiran Putrajaya sehingga kini belum mengeluarkan maklum balas lanjut berhubung pendedahan ketirisan dana kerajaan itu.

-NFN-