Categories
SELANGOR

Jom Shopping Deepavali dapat sambutan warga Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 17 OKT: Program Jom Shopping sempena perayaan Deepavali bagi kawasan Paya Jaras sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai lebih 400 kaum India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia menunjukkan momentum meningkatnya kesedaran masyarakat kaum India di DUN itu terhadap program Kerajaan Negeri khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Sejak dilancarkan, program ini memang mendapat sambutan sangat tinggi, namun selepas PRU-13 sambutan semakin bertambah dan ini menunjukkan bertambahnya keyakinan orang ramai terhadap program kebajikan yang dijalankan Kerajaan Negeri.

20161016_095013“Selain semakin diterima masyarakat, ini juga menunjukkan orang ramai semakin yakin dengan usaha Kerajaan Negeri yang ada hari ini untuk membantu rakyat,” katanya kepada SelangorKini pada Program Jom Shopping DUN Paya Jaras di kawasan letak kenderaan berhampiran pasaraya Econsave, di sini, pada 16 Oktober lalu.

Katanya, keyakinan yang diperolehi Kerajaan Negeri bukannya datang bergolek tetapi melalui usaha berterusan dengan pelbagai penambahbaikan.

Katanya, sambutan menggalakkan itu juga sejajar dengan peningkatan sokongan pengundi India pada PRU-13 berbanding PRU-12, pada 2008.

Katanya, langkah Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meneruskan program itu juga menunjukkan keprihatinan membantu golongan yang memerlukan untuk menyambut perayaan Deepavali bakal menjelang tidak lama lagi.

-NFN-