Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Azmin: Peruntukan khas tawar pendidikan percuma UNISEL

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 17 OKT : Pentadbiran Pakatan di Selangor menyediakan peruntukan khas bagi tujuan pembiayaan pendidikan secara percuma kepada mahasiswa di Universiti Selangor (UNISEL), kata Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Peruntukan tersebut meliputi bantuan Skim Dermasiswa yang dilaksanakan di Unisel kepada mahasiswa berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di universiti milik Kerajaan Negeri itu.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan lebih besar bakal disalurkan bagi tujuan tersebut di peringkat Persekutuan jika pentadbiran Pakatan memegang tampuk kepimpinan Putrajaya.

MB AZMIN“Sekiranya kita tadbir Putrajaya, kita tidak berhalangan untuk beri pendidikan percuma itu.

“Namun, ketika ini kita sudah mentadbir Selangor dan sudah ada peruntukan khas bagi tujuan pembiayaan tersebut,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat penggal keempat, pagi ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berhubung tawaran pembiayaan pendidikan percuma dalam manifesto Pakatan sebelum ini.

Idris mendakwa, Pakatan tidak merealisasikan hasrat untuk memberikan pendidikan percuma seperti manifesto yang pernah dijanjikan kepada rakyat negeri itu.

Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi itu, sekali gus dibidas Mohamed Azmin yang merujuk pendekatan dilaksanakan di UNISEL, sejak 2008.

Untuk tempoh Januari sehingga April lalu, seramai 500 pelajar menerima skim berkenaan di bawah pengajiaan tahun asas jurusan Sains dan Teknologi Maklumat.

Malah, tawaran pembiayaan tersebut juga kini dilanjutkan bagi tempoh permohonan pengajian sesi Oktober di UNISEL.

Keberkesanannya, pelaksanaan skim tersebut tidak memerlukan pelajarmemohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan (PTPTN) yang menjerut beban hutang mahasiswa selepas tamat pengajian.

-NFN-