Categories
SELANGOR

Komited taja lebih ramai pelajar kurang berkemampuan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 11 OKT: Kerajaan Negeri komited untuk menaja lebih ramai pelajar kurang berkemampuan bagi menyertai program kemahiran teknikal di Kolej Antarabangsa INPENS tahun depan.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, berkata tajaan terbabit bagi membantu pelajar berpendidikan sekaligus menaiktaraf pendapatan keluarga dan memenuhi kehendak pasaran.

Katanya, tahun ini sebanyak RM4 juta disalurkan kepada 300 pelajar INPENS yang memenuhi kriteria untuk menyertai program kemahiran teknikal itu.

“Jumlah peruntukkan itu berbeza dengan sebelum ini yang hanya memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada pelajar.

cp2a5840-1024x683“Selaras dengan gagasan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menyarankan supaya kolej ini dimartabatkan dan dibangunkan sebagai institusi pengajian kemahiran yang unggul di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Surat Tawaran Program Kemahiran Teknikal Selangor bagi sesi ambilan Mei dan Julai 2016.

Ganabatirau berkata pemantapan kursus sedia ada turut diberi penekanan tahun depan.

“Peningkatan pelajar untuk menyertai program itu dapat dilihat dalam beberapa tahun ini dan kita jangka terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut tidak meletakkan had umur bagi kelayakan menyertai program itu namun menggalakkan belia muda menyertainya.

“Antara kriteria diutamakan adalah pendapatan kurang dari RM3,000 dan mempunyai kelulusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) atau PT3,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 117 pelajar menerima surat tawaran program kemahiran teknikal yang membabitkan kursus kemahiran kulinari, pastri, pembuat pakaian lelaki dan wanita, motosikal, penyaman udara dan sistem komputer.

EZY