Categories
SELANGOR

Pelajar tajaan INPENS perlu bukti kecemerlangan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 11 OKT: Pelajar Kolej Antarabangsa INPENS yang ditawarkan pembiayaan Kerajaan Negeri dinasihatkan menggunakan peluang sedia ada dengan sebaiknya.

Pemangku Pegawai Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman, berkata hal itu kerana ramai anak muda di luar yang menginginkan pembiayaan itu namun tidak berpeluang.

“Saya mengharapkan usaha gigih dan kejayaan cemerlang daripada pelajar.

“Peluang mendapatkan tajaan atau biasiswa bagi membiayai pengajian merupakan satu pemberian yang wajib disyukuri,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Program Kemahiran Teknikal Selangor, di sini.

cp2a5762-1024x683Zabri berkata pihaknya bersedia dan komited dalam memastikan pelajar yang berdaftar di INPENS memperolehi pembiayaan pendidikan yang sewajarnya.

Katanya, ia bagi memastikan peranan kolej dalam melahirkan ramai tenaga mahir terlaksana walaupun dihujani dengan pelbagai cabaran.

“Pembiayaan pendidikan adalah satu entiti penting untuk kelangsungan pembelajaran bagi setiap pelajar kerana kos melanjutkan pelajaran meningkat setiap tahun.

“Jadi, INPENS berbesar hati dan berharap Kerajaan Negeri dapat membantu pelajar secara berterusan supaya mereka ini dapat keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Seramai 117 pelajar menerima surat tawaran program kemahiran teknikal yang membabitkan kursus kemahiran kulinari, pastri, pembuat pakaian lelaki dan wanita, motosikal, penyaman udara dan sistem komputer.

Sebanyak RM4 juta diperuntukkan kepada 300 pelajar tahun ini yang membabitkan pembiayaan yuran pengajian, yuran asrama, kos makan dan minum serta elaun bulanan.

Pada 2015 seramai 255 pelajar menjadi penerima program itu.

EZY