Categories
SELANGOR

MB ikrar tentang petualang, kelapa komeng dan pencemburu sakit hati

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OKT: Ketelusan pentadbiran dan kejayaan Selangor dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampu menjamin integriti dalam pentadbiran dan sekaligus menarik pelabur asing dan pemimpin dunia datang ke Selangor untuk menjalin kerjasama ekonomi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keadaan ini menimbulkan perasaan sakit hari di kalangan petualang, kelapa komeng dan pencemburu yang sakit hati.

“Pemimpin Singapura minat bicara soal keselamatan rantau di Laut China Selatan. Saudagar Jepun petah bicara peluang pelaburan. Pemimpin British tertarik dengan kecekapan pentadbiran. Pemimpin dunia melihat Selangor sebagai model kejayaan dan terus menjadi tumpuan. Alhamdulillah.

“Para pelabur suka melabuh di Selangor kerana pentadbiran negeri ini ibarat air jernih, bila dilihat nampak terus ke dasarnya. Tidak ada kekeruhan yang menutup onak dan duri rasuah dan korupsi. Bukan sahaja syarikat gergasi yakin melabur di Selangor, peniaga kecil terus diupaya dan dipimpin,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2016 Kerajaan Negeri Selangor, di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini,hari ini.

Jelasnya, kejayaan Kerajaan Negeri itu dicemburui oleh gerombolan perasuah dan anti kesejahteraan rakyat dengan menabur fitnah, merekayasa tohmahan dan memesong fakta bagi menutup kelemahan diri dan kepentingan politik masing-masing.

EZY