Categories
SELANGOR

Peruntukan SJK dan SAC meningkat, fokus pembangunan infrastruktur

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : Prospek pembangunan dan kemudahan pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR), dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) Cina dan Tamil turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri untuk tempoh 2017 ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan berkenaan melonjak daripada tahun sebelumnya, sebagai memastikan kualiti pendidikan terus diberdaya.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16 juta semenjak 2013 bagi infrastruktur pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK(C) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T).

“Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan bagi SAR dinaikkan kepada RM9 juta, manakala SJK(C) dinaikkan kepada RM7 juta dan SJK(T) dilonjakkan peruntukan kepada RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri mengenalpasti 25 buah ‘Mission School’ dan lima Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) yang masih belum mendapat perhatian sepenuhnya di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sekolah berkenaan terdiri daripada SMJK Chung Hwa dan SMJK Kwang Hua di Klang, SMJK Yu Hua di Kajang, SMJK Yoke Kuan di Sekinchan dan SMJK Katholik, Petaling Jaya.

“Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM1 juta bagi membantu pembangunan infrastruktur di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

EZY