Categories
SELANGOR

MBSA terima Anugerah Langkawi komited kekal kehijauan alam sekitar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terpilih bagi menerima Anugerah Langkawi 2015/2016 bagi kategori pertubuhan, pada 22 Oktober lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad, berkata pemilihan itu berdasarkan kepada komitmen MBSA untuk mengekalkan kehijauan dan kesejahteraan alam sekitar.

Katanya, penilaian mengambil kira pelbagai program dan aktiviti berasaskan inisiatif hijau bagi menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030.

“MBSA juga sentiasa memberi penekanan kepada konsep dan inisiatif ‘Pembangunan Hijau’ dalam perlaksanaan pembangunan.

“Ia menggariskan panduan bagi meningkatkan kualiti persekitaraan kondusif dengan menerapkan elemen penghijauan dalam perancangan guna tanah, reka bentuk bandar, susun atur kawasan kejiranan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Bertempat di Kuching Waterfront, Sarawak, anugerah disampaikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kepada Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haji Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Antara program yang melayakkan MBSA menerima anugerah ini adalah Program Pengenalan Kempen Kitar Semula di sekolah sekitar Shah Alam.

Shahrin berkata, ia termasuk Pertandingan Kutipan Sampah, Program Penanaman Pokok ‘Shah Alam Trees For Life’, Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai, Program Pengasingan Sampah dari Rumah, Program Baja Kompos Sisa Makanan, Kebun Kejiranan dan Penyediaan Trek Basikal.

“Penganugerahan ini merupakan satu penghormatan dan dijadikan sebagai motivasi kepada seluruh warga kerja MBSA.

“Kami terus memberikan perkhidmatan lebih cekap kepadamasyarakat khususnya komuniti Shah Alam,” katanya.

EZY