Categories
SELANGOR

MDKL siap siaga hadapi gelombang kedua

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kini berada dalam persediaan peringkat tertinggi untuk menghadapi gelombang kedua fenomena air pasang besar.

Yang Di Pertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, seramai 18 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) sedia digerakkan pada bila-bila masa.

Katanya, skuad turut dilengkapi dengan beberapa jentera dan peralatan bagi memberikan khidmat bantuan menyelamat.

pantas-mdkl“MDKL turut menghantar anggota skuad menjalani latihan menyelamat mangsa banjir, latihan menggunakan peralatan menebang pokok dan memadam kebakaran.

“Latihan ini bagi memastikan skuad PANTAS ini berkemampuan menjalankan operasi menyelamat mangsa bencana seperti banjir,” katanya dalam kenyataan.

Gelombang kedua fenomena air pasang besar dijangka bermula pada 15 Oktober ini.

Paras air tertinggi diramal berlaku pada 17 Oktober 2016 dengan ketinggian 5.7 meter pada jam 6.35 pagi.

Azhar berkata, MDKL akan bekerjasama dengan agensi menyelamat lain di bawah Pejabat Daerah Kuala Langat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam memberikan bantuan.

“Diharap penduduk yang tinggal berdekatan Pantai Kelanang dan pesisir Pantai Tanjung Sepat agar berjaga-jaga.

“Diminta semua meningkatkan keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

-nR-