Categories
SUKANKINI

Selangor rantai import T-Team, jejaskan gerakan lawan

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG, 14 OKT: Selangor akan mengekang pergerakan dua pemain import T-Team, Makan Konate dan Patrick Cruz, dalam usaha melumpuhkan lawannya ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam esok.

Pengendalinya, K Gunalan, berkata kedua pemain import itu amat bahaya dan Selangor perlu merantai pergerakan mereka supaya kelancaran gerakan The Titans terjejas.

“T-Team mempunyai dua atau tiga pemain import yang baik seperti Makan Konate dan Patrick Cruz selain Dilshod Sharofetdinov dan dengan Abdoulaye Maiga tidak dapat bermain maka kita kena berjaga-jaga.

“Saya rasa perancangan dibuat pasukan akan berjaya mengekang kedua pemain import ini (Konate dan Cruz) serta pemain tempatan mereka, diharap kita berjaya malam esok,” katanya kepada SelangorKini.

gunalanGunalan ditemui sebelum berlepas bersama pasukannya ke Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkembangan dalam pasukan juga bagus dengan semua pemain Selangor bersedia bagi menghadapai perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terenganu itu.

“Semua pemain bagus termasuk barisan pertahanan dan walaupun Shahrom (Kalam) sudah kembali tetapi gandingan Rizal (Fahmi Rosid) dan Ugo (Ukah) selama ini bagus.

“Saya akan tengok perkembangan esok untuk putuskan barisan pemain terbaik,” katanya.

Gunalan berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan pasukan untuk perlawanan esok biarpun akan berhadapan cabaran getir T-Team dengan sokongan padu penyokongnya.

“Saya harap penyokong (Selangor) akan datang esok walaupun hanya segelintir sahaja tetapi sudah cukup sebagai sokongan padu kepada pasukan,” katanya.

Penyandang juara Piala Malaysia itu turun dengan kelebihan agregat 2 – 1 selepas mengatasi lawan dengan keputusan itu dalam separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, 1 Oktober lalu.

-nR-