Categories
NASIONAL

MetMalaysia: Angin kencang Barat Daya tingkat potensi air pasang besar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 OKT: Angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dijangka berlaku di beberapa kawasan perairan negara.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pantai Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu & Miri), WP Labuan dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat & Sandakan) sehingga Rabu, 19 Oktober 2016.

Pada masa sama, kejadian air pasang besar yang signifikan juga berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang akan mendedahkan kawasan perairan itu kepada kenaikan paras air laut.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” tulisnya di laman sesawang.

metmalaysia-air-pasangSelain itu, ribut petir di perairan Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak (Bintulu dan Miri), Sabah (Pedalaman) dan WP Labuan dijangka berterusan sehingga hari ini.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dan berbahaya kepada bot-bot kecil,” katanya.

Pagi tadi, tiga kawasan di sekitar Bagan Datoh dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar.

Air pasang yang berlaku kira-kira 4 pagi itu menyebabkan tiga kawasan dilimpahi air iaitu Bagan Lipas, Bagan Pasir dan Kampung Kota.

-nR-