Categories
SELANGOR

MPK lancar operasi pantau kebersihan premis makanan besar-besaran

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 27 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengadakan operasi besar-besaran pemeriksaan dan penutupan premis makanan di seluruh kawasan Klang.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, operasi dijalankan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berlangsung pada 3 November ini.

“Operasi ini bertujuan bagi memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi orang ramai selain mencegah berlaku kes keracunan makanan,” katanya.

YDP MPKBeliau berkata demikian ketika Mesyuarat Bulanan dan Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM), 25 Oktober lalu.

Menurutnya,pengusaha makanan berdepan tindakan penutupan premis selama 14 hari dibawah
Akta Makanan 1983 sekiranya terdapat kesan hurungan tikus dan lipas serta pengusaha dan pengendali makanan tidak mengamalkan kebersihan diri.

“Orang ramai harus peka dengan tahap kebersihan premis mereka kunjungi dan operasi yang kita adakan ini adalah bukti betapa isu kebersihan sentiasa dalam perhatian.

“MPK juga tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan kebersihan kerana ia melibatkan nyawa orang ramai dan pengusaha premis perlu peka dengan kebersihan kedai mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yasid menjelaskan warga Klang bakal disajikan dengan pelbagai acara sepanjang Oktober dan November ini.

Antara program yang akan berlangsung adalah sambutan Hari Deepavali dan Karnival Mini Mega Sales bertempat di Kompleks Sukan Pandamaran pada 28 hingga 30 Oktober ini.

“Ia melibatkan pelbagai acara menarik antaranya Malam Kebudayaa Bugis dan Jawa, Kayuhan Basikal Klasik Bandar Diraja Klang, Pertandingan Juara Kugiran Terbuka MPK dan Tayangan Skrin Gergasi Perlawanan Akhir Piala Malaysia.

“Warga Klang juga bakal menyaksikan, Pertandingan Karaoke, Pertunjukkan Tomoi,Senamrobik Perdana, ‘Food Truck’, Pertandingan Wau, Sukaneka Rakyat dan persembahan artis jemputan,” katanya.

-nR-