Categories
SELANGOR

Orang ramai dinasihat jangan ceroboh kawasan larangan HSAH

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 6 OKT: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan trek kawasan larangan di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), di sini, ekoran ia bukan hutan rekreasi biasa.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, kawasan itu adalah hutan simpanan yang dipajak kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) selama 999 tahun untuk membuat penyelidikan.

“Saya nasihatkan orang awam supaya ikut peraturan ketika berada dalam HSAH atau dikenali sebagai Bukit Wawasan ini, jangan ceroboh ke kawasan larangan.

“Jika mahu melakukan aktiviti pendakian, orang ramai dibenarkan melalui laluan trek sepanjang 2.8 kilometer sahaja,” katanya.

Seramai 86 pendaki dicekup ketika operasi bersepadu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di hutan itu, pada Isnin lalu.

Katanya, kesemua mereka didapati menceroboh masuk ke kawasan larangan dalam hutan berkenaan termasuk di lokasi air terjun.

yb-ng-sze-hanSze Han berkata, ia bukan kali pertama pengunjung dicekup melakukan kesalahan itu, malahan tiga bulan lalu sekumpulan pendaki turut dicekup kerana menceroboh kawasan larangan.

“Ramai pendaki tersesat apabila terkeluar dari laluan trek sedia ada, empat lagi pendaki dilaporkan sesat dalam hutan berkenaan, kelmarin.

“Setiap bulan pasti ada dua atau tiga kes pendaki sesat dalam hutan berkenaan. Pesanan saya, jangan keluar dari laluan trek dan tidak boleh bermalam kalau tak dapat permit daripada agensi berkenaan.

“Saya kesal apabila diberitahu, lebih 200 pendaki masuk ke kawasan larangan pada cuti hujung minggu,” katanya.

-AA-