Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

BERSIH enggan layan publisiti murahan Jamal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 OKT: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kekal dengan tuntutannya untuk menyaman Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos ekoran mendakwa badan itu diserapi IS.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, Bersih tidak perlu melayan tindakan tidak bertangungjawab Jamal, sebaliknya kekal fokus meneruskan tuntutan gabungan itu ke arah pentadbiran negara lebih telus.

“Saya tidak mahu respon lebih atau memberikan publisiti murahan secara terus kepada Jamal dan saya tidak perlu berhabis masa untuk perkara remeh ini.

“Kami akan terus fokus dengan matlamat dan tuntutan kami. Untuk Jamal, kita hanya perlu jumpa di mahkamah nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Jamal yang mengoyakkan surat tuntutan saman Bersih 2.0 dan bertindak membuangnya ke dalam lubang tandas.

Lebih memalukan, sidang media Jamal turut dibuat di tandas bangunan Umno Selangor di Shah Alam, semalam.

maria chinPada masa sama, Maria turut mempersoalkan kredibiliti Umno apabila melahirkan pemimpin gangster dengan tahap mentaliti sedemikian.

“Saya tiada perkataan untuk tindakan itu, cuma rakyat boleh fikir bagaimana seorang Datuk dalam kalangan ahli Umno boleh bertindak sedemikian.

“Adakah Umno melahirkan seorang gangster seperti Jamal?” soalnya.

Maria sebelum ini menuntut Jamal membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam berhubung dakwaannya yang mengaitkan Bersih dengan kumpulan militan IS.

Bagaimanapun Jamal enggan membuat permohonan maaf, kononnya mendakwa beliau memiliki sumber sahih berhubung dakwaannya terhadap Bersih.

-AA-