Categories
SELANGOR

Pastikan premis bersih elak didenda

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 12 OKT: Pemilik premis di sekitar kawasan perindustrian Klang dinasihatkan supaya menjaga kebersihan kawasan sekitar premis sebelum tindakan tegas diambil.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, semua barangan mahupun sampah dilonggok tidak boleh diletakkan di luar kawasan premis mahupun tanah Kerajaan.

“Semua sampah sarap atau bahan masih digunakan perlu diletakkan di dalam kawasan premis.

“Kita tidak mahu pemilik premis melonggokkan bahan ini sehingga ke tepi jalan atau atas tanah kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Lawatan Ke Kawasan Perindustrian Jalan Kebun Nenas, di sini.

Yasid mengingatkan pemilik premis yang ingkar dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000.

“Untuk hari ini, saya bersama pegawai melihat dulu dan menasihatkan pemilik premis.

“Namun, jika mereka masih gagal pada masa akan datang, pihak MPK akan mengeluarkan kompaun,” katanya.

Sebanyak tujuh premis di sekitar Jalan Kebun Nenas diperiksa.

Yasid menasihatkan pemilik premis sentiasa menjaga kebersihan kawasan supaya menjadi contoh kepada kawasan perindustrian lain.

“Setiap premis mempunyai kontraktor yang mengutip sampah sendiri namun tindakan melonggok ini bukan amalan yang baik dan dikhuatiri penduduk membuang sampah di kawasan itu,” katanya.

EZY