Categories
SELANGOR

Pembangunan wanita diperkukuh, peruntukan RM9 juta laksana Institut Wanita Berdaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Pembangunan Wanita terus diperkasakan Kerajaan Negeri menerusi beberapa tumpuan dan inisiatif jangka panjang ke arah memberdayakan sosio ekonomi wanita di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tumpuan Belanjawan 2017 turut menghargai penyertaan wanita menerusi penubuhkan Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Justeru katanya, bagi menghargai peranan tersebut, Institut Wanita Berdaya diperkenalkan bagi memberdaya kaum hawa dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya dengan cadangan peruntukan sejumlah RM9 juta.

“Wanita turut menjawat peranan penting dan strategik dalam pentadbiran dan syarikat negeri. Selangor mempunyai seorang wanita yang dilantik sebagai Pegawai Daerah dan dua orang Yang Dipertua PBT.

“Sementara itu, lima buah agensi negeri adalah dipimpin oleh wanita. Terbaru, Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar PKNS juga dilantik di kalangan wanita profesional yang berpengalaman dan berwibawa dalam industri hartanah.

“Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan Institut Wanita Berdaya sebagai badan pemikir atau ”think tank khusus untuk merencana dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif demi memartabatkan wanita di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin berkata pelaksanaan Program Mammogram di negeri ini juga diteruskan walaupun pemansuhannya dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Program Mammogram Selangor telah berjaya memberikan perkhidmatan kepada 22,505 wanita mulai tahun 2008.

“Sementara Putrajaya menghapuskan peruntukan untuk program mammogram, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk meneruskan program ini dengan peruntukan RM 1 juta bagi 2017 dan mensasarkan seramai 5,000 wanita akan mendapat perkhidmatan ini,” katanya.

EZY