Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persiapan rapi hadapi akhir Piala Malaysia

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA TERENGGANU, 16 OKT: Dua gol awal diperoleh memberi kelebihan kepada Selangor menguasai perlawanan dan mengatasi T-Team dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi.

Bagi jurulatih pasukan, K Gunalan, segala perancangan menjadi dengan lawan berjaya dinafikan jaringan gol sebaliknya The Red Giants mendapat ruang untuk kelebihan itu.

“Perancangan pasukan memang mengelak dibolosi gol pada 20 minit terawal dan pemain berjaya ditambah dengan kejayaan mendapat dua gol yang menaikkan semangat pasukan.

“Ia nyata memberi kesempatan terbaik dan lebih bagus bila diakhiri dengan gol ketiga,” katanya kepada media selepas perlawanan berakhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Selangor mengalahkan T-Team 3 – 0 melalui jaringan R Gopinathan pada minit kedua, Ugo Ukah (m18) dan Andik Vermanshah (m90) untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Gunalan berkata, pemain nyata menterjemahkan segala strategi diatur dengan berkesan buat mengatasi lawan di sepanjang permainan berkenaan.

“Penekanan bahawa keputusan adalah 0 – 0 dan bukan 2 – 1 yang saya sampaikan dalam bilik persalinan (sebelum perlawanan), membuatkan pasukan bertindak seperti diperlukan.

“Barisan pertahanan bertindak baik walaupun ada masa T-Team menyerang dan berjaya memberi tekanan tetapi keseluruhannya saya berpuas hati,” katanya.

Beliau menjelaskan pasukan Selangor berada dalam kedudukan baik dan akan membuat persiapan rapi bagi perlawanan akhir dalam usaha mempertahankan kejuaraan itu.

“Ia perlawanan ulangan seperti aksi akhir tahun lalu.

“Ramai antara pemain sudah merasai pengalaman bermain dalam perlawanan akhir antaranya Azmi (Muslim), Rizal (Fahmi Rosid) dan yang lain serta dengan kembalinya Shahrom (Kalam), saya rasa bagus untuk pasukan,” katanya.

Selangor layak ke akhir dengan agregat 5 – 1 dan akan bertemu Kedah yang seri dengan PDRM 0 – 0 (agregat 2 – 1) dalam satu lagi aksi separuh akhir malam tadi.

EZY