Categories
SUKANKINI

T-Team gagal manfaat peluang, beri ruang Selangor menang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA TERENGGANU, 16 OKT: Kesempatan diperoleh tidak digunakan sebaiknya membuatkan T-Team gagal mengatasi cabaran Selangor dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi.

Akibatnya, The Titans ditundukkan 0 – 3 pasukan pelawat dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, seterusnya tewas dengan agregat 1 – 5.

Jurulatih padukan, Rachmat Darmawan, berkata sikap berhati-hati pemain dalam mengatur gerak dan mengasak lawan mengundang tekanan hingga memberi kelebihan kepada Selangor.

“Dilihat pemain begitu berhati-hati dalam melancarkan serangan di samping bertahan dan peluang diperoleh tidak digunakan dengan baik.

“Sepatutnya pemain mengawal dengan tenang keadaan itu tetapi tidak berlaku dan sebaliknya Selangor mengambil kesempatan hingga mengahidkan tekanan kepada kita,” katanya kepada media selepas perlawanan itu.

Selangor mengalahkan T-Team 3 – 0 melalui jaringan R Gopinathan pada minit kedua, Ugo Ukah (m18) dan Andik Vermanshah (m90) untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Beliau berkata, ketangkasan penjaga gol Mohd Khairul Azhan, adalah salah satu faktor kemenangan The Red Giants yang cemerlang serta banyak menghampakan percubaan anak buahnya mendapatkan gol.

“Kita tidak menghadapi tekanan dalam menghadapi perlawanan ini dan tidak juga pengalaman Selangor meletakkan jurang besar.

“Namun pasukan lawan lebih bijak dalam mengatur strategi dan memperoleh gol serta berjaya menguasai perlawanan ini hingga tamat,” katanya.

EZY