Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntukan air percuma meningkat kepada RM183.2 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : Peruntukan sebanyak RM183.2 juta diperuntukan bagi meneruskan program Air Percuma yang mula dilaksanakan di negeri ini sejak 2008.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar tersebut diteruskan demi kelangsungan dan memenuhi permintaan masyarakat Selangor khususnya di kawasan luar bandar.

“Peruntukan sebanyak RM 183.2 juta disediakan untuk program air percuma bagi tahun 2017.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri menyarankan air percuma dimanfaatkan secara berhemah.

“Air adalah sumber yang sangat bernilai dan pengguna perlu membudayakan amalan konservasi air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2016, peruntukan RM170 juta diperuntukkan bagi meneruskan lanjutan Skim Pemberian Air Percuma.

Terdahulu Mohamed Azmin berkata, skim pemberian air percuma kepada rakyat Selangor bagi 2017 dan tahun seterusnya, membabitkan jumlah peruntukan besar.

Sejak dilaksanakan pada 2008, masyarakat Selangor menikmati pemberian air percuma sebanyak 20 meter yang terus memberi manfaat kepada golongan sasar termasuk rakyat berpendapatan rendah.

-nR-