Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntukan mengurus RM427.9 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM427.9 juta bagi emolumen di bawah peruntukan mengurus, umum Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, RM543.16 juta pula disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan, manakala RM608.11 juta disediakan untuk pemberian serta kenaan bayaran tetap sementara RM52.49 juta perbelanjaan lain.

belanjawan-selangor-2017“Pertambahan pada anggaran peruntukan mengurus Kerajaan Negeri bagi 2017 adalah untuk membiayai kenaikan gaji tahunan kakitangan awam berikutan langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam melibatkan peruntukan RM20.3 juta.

“Kedua, penggantian skim pinjaman buku teks berwarna bagi pelajar tahun satu hingga tiga di sekolah agama Selangor melibatkan peruntukan RM7 juta.

“Selain itu, RM10 juta diperuntuk bagi operasi penyelenggaraan benteng pantai, sungai dan kolam takungan, manakala kenaikan jumlah bantuan program pemberian air percuma 20 meter padu yang pertama RM13.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kenaikan siling Kumpulan Wang Pinjaman RM150 juta turut disediakan bagi menampung program Hijrah, projek penggantian paip air lama, program pengurusan sisa pepejal dan projek pemuliharaan dan pembangunan sungai di Selangor.

“Perbelanjaan ini akan memberi manfaat langsung untuk kesejahteraan rakyat dan mewujudkan kesan gandaan kepada aktiviti ekonomi,” katanya.

-NFN-