Categories
SELANGOR

Selangor sekali lagi catat surplus RM351.3 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Selangor sekali lagi mencatatkan belanjawan surplus apabila kedudukan kewangannya sehingga 14 Oktober berjaya mencatatkan lebihan RM351.38 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan ini bukan helah untuk mengambil sikap selesa tetapi merupakan berkat kewangan yang kukuh.

Katanya ia sekaligus membolehkan Kerajaan Negeri merangka Belanjawan 2017 untuk membangun bangsa, memakmur negeri dan dasar mesra pasaran yang mampu meningkatkan pelaburan domestik dan luar negara.

“Pada 30 Oktober 2015 yang lalu, saya membentangkan belanjawan defisit RM630 juta untuk menjana pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Kita bersyukur sehingga 14 Oktober 2016 kedudukan kewangan negeri berada pada tahap lebihan sebanyak RM351.38 juta,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika Belanjawan Kerajaan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, ketika ini kutipan hasil negeri mencecah 96.9 peratus, belanja pembangunan sudah mencapai tahap 60.0 peratus manakala belanja mengurus pula pada tahap 77.1 peratus.

Sementara itu rizab Kerajaan Negeri pula mencatatkan RM3.62 bilion.

EZY