Categories
SELANGOR

PJ sekali lagi rangkul anugerah EHCC

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencatatkan sejarah baru apabila bandar raya itu dinobatkan sebagai pemenang kebangsaan dalam kempen WWF – Earth Hour City Challenge (EHCC) bagi tahun kedua berturut-turut.

Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar berkata, anugerah diterima di Quito, Ecuador pada 16 Oktober itu adalah hasil usaha sama MBPJ dan pihak berkepentingan memperkukuhkan struktur perkhidmatan awam dan pelaksanaan pelan pengurusan karbon rendah.

“Komitmen MBPJ ini adalah usaha jangka panjang untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya mampan.

“Kita akan terus mendidik masyarakat menyemai tabiat memelihara alam sekitar dan memupuk semangat kejiranan demi kebaikan serta kemajuan kita bersama,” katanya.

mbpj-1Selain Petaling Jaya, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang turut terpilih untuk mewakili negara ke EHCC 2016 yang berlangsung selama dua bulan bermula dari 26 April hingga 19 Jun lalu.

Sekurang-kurangnya 45 bandar raya lain dari 21 negara seluruh dunia terlibat antaranya Balikpapan, Bogor dan Jakarta dari Indonesia; Paris, Perancis serta Cape Town dari Afrika Selatan.

Pada tahun ini, Petaling Jaya bertanding di dalam kempen We Love Cities iaitu public campaign yang membolehkan masyarakat mengundi bandar kegemaran masing-masing.

“EHCC antara lain bertujuan menggerakkan tindakan dan sokongan bandar di seluruh dunia untuk mengatasi perubahan iklim global dan merangsang pembangunan serta ke arah bandar raya hijau berkarbon rendah,” katanya.

Sebelum ini, MBPJ memenangi gelaran sulung ‘Malaysia’s National Earth Hour Capital in the Earth Hour City Challenge (EHCC) pada 2015.

-nR-