Categories
SELANGOR

PROGRESS terima peruntukan RM5 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Program Boot Camp Akademik atau lebih dikenalisebagai Programme On Graduate Employability Enhancement For Smart Selangor (PROGRESS) menerima peruntukan RM5 juta pada 2017, berbanding RM1.5 juta pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dengan sasaran 300 peserta pada tahun hadapan, PROGRESS diyakini mampu mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan.

“PROGRESS memastikan graduan di Selangor memiliki kebolehpasaran dalam aspek ‘soft skills’ seperti komunikasi, interaksi, keyakinan diri, pengurusan waktu dan perancangan strategik dalam pekerjaan.

“Memandangkan suasana ekonomi negara hari ini menyumbang kepada pengangguran dalam kalangan graduan, Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk membesarkan dukungan terhadap PROGRESS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mulai April 2016, PROGRESS mula melatih 100 peserta menerusi kumpulan perintis.

Seramai 73 daripada kumpulan ini sudah mendapat pekerjaan manakala 19 lagi sedang menjalani ‘on-the-job training’.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi inisiatif Tuisyen Atas Talian dan beberapa inisiatif pendidikan lain yang menggunakan internet.

EZY