Categories
SELANGOR

RM7.75 juta pacu industri pelancongan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Fokus pembangunan pelancongan negeri diperkukuhkan menerusi peruntukan RM7.75 juta bagi tujuan pembinaan Pusat Maklumat Pelancongan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, industri pelancongan negeri berpontensi untuk terus dibangunkan susulan peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini.

“Kegiatan pelancongan yang semakin rancak di Selangor turut mencipta peluang pekerjaan sebagai pemandu pelancong terlatih.

“Tourism Selangor perlu memberdaya perkhidmatan pemandu pelancong yang benar-benar memahami produk dan lokasi pelancongan di Selangor.

“Bagi 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan 7.75 juta untuk industri pelancongan,” katanya pada pembentangan Belanjawan Negeri di Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini.

Sebelum ini, industri pelancongan negeri mengalami pertumbuhan pesat selepas beberapa kawasan tarikan pelancong terus diberdaya menerusi pelan jangka panjang dan inisiatif digerakkan Tourism Selangor.

Mohamed Azmin berkata, ini termasuklah penjenamaan semula Sky Mirror sebagai salah satu produk terbaru pelancongan negeri.

“Kawasan sepanjang lima kilometer dan lebarnya tiga kilometer ini hanya boleh dilawati dua kali sebulan selama enam hari setiap kali munculnya anak bulan dan bulan penuh.

“Ketika kemunculan anak bulan dan bulan penuh ini, pengunjung berpeluang melihat apa sahaja yang dilihat di atas bumi dan angkasa raya tercermin di atas permukaan air yang bersih dan jernih.

“Maka, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) harus segera meningkatkan kemudahan akses ke lokasi Sky Mirror bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Selangor,” katanya.

Pada masa sama katanya, produk pelancongan di Sekinchan juga kini diyakini mampu ditambahbaik bagi menaarik kedatangan pelancong ke daerah itu.

EZY