Categories
NASIONAL

Sedia jaringan sesuai mudahkan penyaluran bantuan makanan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan Persekutuan sepatutnya menyediakan jaringan infrastruktur sesuai bagi memudahkan penyaluran bantuan makanan dalam bentuk stem makanan (food stamp) untuk membantu golongan luar bandar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata masih banyak kawasan luar bandar yang berhadapan masalah ketiadaan kedai runcit.

“Menteri menyatakan tiada jaringan infrastruktur yang memadai khususnya di luar bandar bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat berbentuk stem makanan.

“Sewajibnya kerajaan mengambil kira kewajipan menyediakan infrastruktur bersesuaian dengan imej negara kita yang kelas menengah.

“Sehingga isu ketiadaan kedai runcit masih tiada di luar bandar dan separa bandar untuk membolehkan bantuan stem makanan disalurkan,” katanya.

Nurul-IzzahBeliau berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat.

Nurul Izzah ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri mengemukakan soalan mengenai senarai pemohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang berjaya dan gagal mengikut negeri dari 2014 hingga 2016.

Johari dalam jawapannya berkata, seramai 8.1 juta permohonan diterima untuk 2014 dengan 6.95 juta daripadanya diluluskan.

Pada 2015, 8.25 juta permohonan diterima dengan 7.34 juta diluluskan manakala daripada 8.3 juta permohonan bagi2016 seramai 7.28 juta diterima.

Mengikut pecahan negeri, Selangor mempunyai ramai pemohon BR1M diikuti Johor dan Sarawak.

EZY