Categories
SELANGOR

Selangor perkenal skim rawatan kesihatan percuma untuk keluarga B40

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OKT: Disebalik langkah Kerajaan Persekutuan memotong perbelanjaan bagi sektor kesihatan, Kerajaan Negeri sebaliknya memperuntukan RM125 juta setahun bagi melaksanakan Skim Peduli Sihat di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim itu bakal menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan percuma bagi 250 ribu keluarga atau satu juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap tahap kesihatan rakyat yang boleh menjejaskan produktiviti. Biarpun Kerajaan Negeri tidak mempunyai sumber pendapatan sebesar Putrajaya, namun kita memiliki rasa kepedulian yang raksasa.

“Kerajaan Negeri memperkenalkan skim perlindungan perubatan dan kesihatan (medical and healthcare coverage) atau Skim Peduli Sihat bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) iaitu kelompok yang paling tertekan berikutan daripada kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2017 Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, Skim Peduli Sihat akan diuruskan Selgate Corporation selaku ‘Third-Party Healthcare Administrator’ yang akan membiayai rawatan kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM500 setahun.

Katanya, penerima skim ini boleh mendapat rawatan di 1,000 buah klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.

Katanya lagi, mereka yang dilahirkan atau telah menetap lebih 10 tahun di Selangor layak untuk menyertai skim ini.

Pendaftaran boleh dilakukan di Pejabat Ahli Dewan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, klinik-klinik berdaftar termasuk pendaftaran atas talian dengan menyertakan bukti atau pengesahan pendapatan.

“Setiap peserta akan menerima kad kesihatan Peduli Sihat. Pemegang akaun utama Peduli Sihat beserta tanggungannya – isteri serta anak-anak di bawah umur 21 tahun boleh menerima rawatan doktor (general practicioner) di klinik berdaftar menurut had gunaan dan kelayakan yang ditetapkan,” katanya lagi.

Jelasnya, klinik berdaftar dengan Peduli Sihat akan mengenakan bayaran yuran konsultasi doktor yang tidak membebankan rakyat selaras dengan yuran yang ditetapkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

EZY