Categories
SELANGOR

Semai cinta alam sekitar dari awal

OLEH NAEEM RAFFI

MORIB, 4 OKT : Kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan amalan kitar semula dalam kalangan generasi muda diterap Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menerusi Karnival Jelajah Kepenggunaan Dan Lestari Alam Sekitar, baru-baru ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, penganjuran program yang mendatangkan impak jangka panjang itu dilihat sebagai mekanisme berkesan dalam melahirkan masyarakat yang lebih menghargai alam sekitar serta memastikan kelestarian alam pada masa hadapan.

“Ia adalah suatu permulaan yang baik bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri supaya masyarakat membudayakan amalan kitar semula.

“MDKL memulakan inisiatif tersebut dengan memberi pendedahan yang akan dilakukan berterusan bagi memastikan keberkesanan penyampaian objektif program,” katanya dalam kenyataan.

Program yang berlangsung dua hari itu menyaksikan pelbagai acara dianjurkan termasuklah pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi kitar semula, produk kesihatan, produk halal, produk mesra alam, produk barangan kitar semula selain pertandingan tarian kanak-kanak tadika, pertandingan fesyen 3R dan pertandingan bola sepak pantai (bawah 12 tahun).

03Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, inisiatif penganjuran karnival itu juga sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri meningkatkan kesedaran dan pendidikan kepenggunaan selain kepentingan amalan kitar semula kepada masyarakat.

“Kerajaan Negeri sememangnya amat berharap supaya hal ehwal pengguna dapat dibendung seperti isu halal, isu penjimatan air, pengurangan beg plastik dan polisterin.

“Penganjuran karnival ini juga dilihat mampu memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk turut bersama-sama dengan PBT dan juga Kerajaan Negeri dalam usaha bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat akan pentingnya menjaga mutu alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jelajah Kepenggunaan Dan Lestari Alam Sekitar Peringkat Daerah Kuala Langat mewakili Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau Dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong di Dataran Pantai Morib.

02Hasnul berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program berkaitan hal kepenggunaan seperti Kempen Jom Menabung, Jom Jimat Air, Kempen Mengenali Logo Halal, Hari Tanpa Beg Plastik dan Pengurangan Penggunaan Bekas Polistrina serta Kitar Semula Minyak Masak.

Namun katanya, masyarakat harus sedar, segala apa yang direncanakan tidak akan berjaya sekiranya masyarakat tidak mahu turut serta.

“Saya menyeru kepada seluruh masyarakat supaya tanamkan rasa kesedaran bahawa segala program yang dirancang adalah semata-mata untuk keselesaan seluruh masyarakat seiring dengan hasrat kerajaan untuk menuju pembangunan yang mampan,” katanya.

-nR-