Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor seru badan kehakiman perkasa integriti

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 OKT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru institusi kehakiman terus diperkasa dengan mempertahankan integriti dan kebebasan dalam membuat keputusan tanpa pengaruh mana-mana pihak.

Baginda bertitah, barisan hakim hendaklah membuat keputusan profesional berdasarkan perlembagaan dan lunas undang-undang tanpa tunduk kepada pendapat umum atau khuatir dikritik.

“Beta ingin mengesa agar para hakim dan pegawai kehakiman di Mahkamah Selangor dan semua kakitangan Mahkamah, agar dapat menjalankan tugas dan amanah diberikan dengan penuh tanggungjawab, mesra pelanggan dan mengutamakan sikap professionalisma pada setiap masa dan keadaan.

“Dengan komitmen yang bersungguh-sungguh dari semua pihak, Beta percaya kes-kes di Mahkamah akan dapat diselesaikan dengan cepat dan efisyen.

“Sesungguhnya, kebebasan, keamanan, kemajuan dan kedaulatan undang-undang hanya boleh ditegakkan dan dijamin sekiranya rakyat mempunyai keyakinan penuh terhadap kebebasan dan integriti badan kehakiman,” titah baginda.

sultan-rasmi-mahkamahBaginda bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli merasmikan Mahkamah Klang, semalam.

Turut mengiringi baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mahkamah Klang pernah beroperasi di Bangunan Chinese Overseas Bank dan di Pejabat Pos Besar Klang di Jalan Dato’ Hamzah.

Pada 1965, mahkamah ini telah berpindah ke bekas rumah Rehat Residen dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Almarhum Ayahanda Beta, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 3 April tahun yang sama.

Ketika itu Mahkamah Klang hanya mempunyai dua bilik bicara yang menempatkan sebuah Mahkamah Sesyen dan sebuah Mahkamah Majistret.

Kini, Mahkamah Klang mengumpulkan lima Mahkamah Sesyen dan lima Mahkamah Majistret dalam satu kawasan bertujuan memudahkan kes-kes jenayah dan sivil di kendalikan.

Ia juga dilengkapi kemudahan CRT (Court Recording and Transcription System) berfungsi membolehkan pengguna melihat semula rakaman video dan visual prosiding yang sedang berlangsung selain dilengkapi sistem CCTV dari lokap utama mahkamah dan laluan Orang Kena Tuduh (OKT).

“Beta berharap dengan kemudahan-kemudahan canggih ini, prosiding mahkamah akan berjalan lebih cekap, lancar dan cepat.

“Oleh itu, masalah kes-kes tertangguh yang membebankan mahkamah selama ini akan dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu, baginda turut berkenan supaya seluruh rakyat berbilang bangsa dapat mengukuhkan perpaduan yang ada bagi meneruskan pembangunan negeri selain memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa untuk bersama-sama mencegah jenayah daripada berleluasa.

-nR-