Categories
SELANGOR

Sungai Semenyih: Kelewatan agensi Persekutuan bertindak dipersoal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 OKT: Kelewatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan tindakan berhubung kejadian pencemaran bau air di Sungai Semenyih menimbulkan persoalan sekiranya wujud unsur sabotaj terhadap pentadbiran negeri.

Kesal terhadap perkara itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata arahan mengenainya sudah dikeluarkan terlebih awal selepas punca pencemaran dikenalpasti.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan susulan agensi Kerajaan Persekutuan itu untuk terus bertindak menyelesaikan permasalahan tersebut pada kadar segera.

img-20161004-wa0005“Kami kesal dengan kelewatan JAS walaupun mereka telah dimaklumkan hampir 12 jam lebih awal berhubung kes ini.

“Mereka sepatutnya bertanggungjawab dan menjalankan kerjasama bersama Kerajaan Negeri walaupun mereka adalah agensi Persekutuan.

“Namun kita berharap ini akan menjadi pengajaran buat semua agar desakan selanjutnya dibuat demi manfaat rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Air Selangor berada di lokasi sejak semalam, selepas pihak pemantau mengesan pencemaran bau.

Pada masa sama, LUAS telah membuat laporan polis jam 2.45 pagi tadi untuk siasatan kejadian pencemaran air oleh pelaku cemar air.

Bagaimanapun, JAS hanya mula turun ke lokasi pagi ini untuk mengambil sampel air, selepas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali melakukan lawatan mengejut di tapak lokasi itu pagi tadi.

EZY