Categories
NASIONAL

Taman Persahabatan Selangor – Jepun singkap tiga dekad jalinan kerjasama serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Hubungan simbiotik para pelabur asing selama lebih dari tiga dekad menjadikan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, komuniti dan pelabur Jepun terus kekal menjadikan Selangor sebagai salah satu destinasi pelaburan terpenting.

Justeru katanya, bagi menghargai kepentingan hubungan dagang tersebut, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina sebuah memorial taman di Shah Alam.

“Kerajaan Negeri ingin mencadangkan pembinaan sebuah taman di Shah Alam yang memperkenalkan ciri estetika Jepun yang dinamakan sebagai Taman Persahabatan Selangor-Jepun.

“Taman tersebut merupakan simbol kepada kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi dan kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri pernah mengadakan Misi Penggalakan Pelaburan Negeri Selangor ke Osaka, Jepun yang diketuai Dato’ Menteri Besar sendiri.

Fokus utama lawatan ke Jepun tersebut turut mefokuskan kepada inisiatif menarik pelaburan dari sektor industri farmaseutikal, sains hayat dan teknologi hijau selainkan mempromosikan kawasan perindustrian negeri.

EZY