Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor berhemah tapi tak ikat perut rakyat seperti pusat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OKT: Berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru supaya rakyat mula mengikat perut dalam Belanjawan 2017, sebaliknya Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pula mengutamakan pembangunan negeri bagi merancakkan ekonomi di negeri itu.

Dato’ Menteri Besaritu berkata, langkah diambil Najib itu boleh menjadikan masa hadapan tanah air dan bangsa menjadi gelap.

“2017 kita mengemukakan perbelanjaan berhemah. Kita tidak mengikat perut rakyat. Kita berbelanja tetapi dalam berbelanja, kita mengutamakan pembangunan.

“Jika kita tidak mengutamakan pembangunan, tanah air dan bangsa ini tidak akan punya masa hadapan,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2017 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, ketika mula mengambilalih pentadbiran negeri pada September 2014, peruntukan pembangunan berada pada tahap 36.7 peratus sebelum ditambah 48 peratus pada 2015 dan 50 peratus lagi pada 2016.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu mengambil keputusan berani supaya Selangor terus maju dengan mengekalkan diri sebagai negeri peneraju di Malaysia di samping menjadi sebuah negeri berdaya saing dengan wilayah di rantau ini.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2017, Najib mengumumkan pemotongan peruntukan beberapa sektor yang memberi impak kepada perbelanjaan rakyat seperti pendidikan dan kesihatan.

Keadaan ini menyebabkan wang boleh guna daripada setiap sen pendapatan diperolehi setiap keluarga menjadi semakin berkurangan.

EZY