Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun Mahathir sah hadir Bersih 5, tolak provokasi Umno

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 2 OKT : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kehadirannya untuk turun berdemonstrasi dalam himpunan Bersih 5, 19 November ini.

Bagaimanapun katanya, pengajuran kali ini disifatkan agak ‘terganggu’ susulan provokasi melampau kumpulan merah, dinaungi Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

“Seperti tahun lalu, saya turut serta dan tahun ini saya akan hadir juga. (Bersih 5).

“Tapi tindakan provokasi kumpulan baju merah itu dilihat cara ganas Jamal dan semudahnya pula (dia) mendapat pingat Datuk,” sindir Mahathir.

344a5568Beliau bercakap kepada SelangorKini menerusi temubual esklusif di sebuah hotel sempena penganjuran Program Jelajah 1MDB, di sini.

Dalam perkembangan itu, kenyataan Mahathir kini dilihat senada dengan sokongan dizahirkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terhadap himpunan itu.

Mahathir sebelum ini bersama Tun Dr Siti Hasmah tampil pada demonstrasi himpunan Bersih 4, di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, Ogos tahun lalu.

Kehadiran beliau pada himpunan rakyat itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada pimpinan tertinggi Umno khususnya, Datuk Seri Najib Razak.

Bersih 2.0 menerusi pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, penganjuran Bersih 5 diadakan sebagai desakan menuntut pembaharuan institusi dan sistem pilihan raya yang lebih bersih.

-nR-