Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

154,304 lot kubur mengikut kaum dibina berperingkat

OLEH: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri komited mewujudkan tapak perkuburan wilayah bersepadu (PWB) dan kemudahan krematorium serta kolombarium di dalam satu kawasan dibangunkan secara bersepadu juga terancang.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, dianggarkan 154,304 lot perkuburan mengikut kaum akan dibina secara berperingkat, sehingga tahun 2060.

Katanya, jumlah itu membabitkan kaum Islam, Kristian, Hindu dan Buddha dengan pembinaannya di sekitar Sepang, Petaling Jaya, Shah Alam serta Kajang.

unnamed-11“Ia membabitkan 642.87 ekar. Manakala, bagi tahun ini dua di Sepang membabitkan keluasan 25 ekar dengan jumlah 25,730 lot kubur akan disiapkan.

“Selain itu, 88,781 lot kubur sedia ada dengan keluasan 369.89 ekar,” katanya di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Ganabatirau berkata syarat bagi pembangunan PWB perlu dilengkapi dengan kemudahan seperti pejabat pentadbiran, stor perkhidmatan, surau, rumah kakitangan, kompleks pembakaran mayat, kemudahan rumah ibadat selain Islam dan kemudahan meletak kenderaan.

Katanya, kawasan tadahan bagi setiap tapak perkuburan yang dicadangkan adalah bersesuaian dengan anggaran kira-kira 45 minit perjalanan atau jarak lingkungan radius 30 kilometer.

“Pembangunan ini juga hendaklah mematuhi keperluan sebagaimana termaktub dalam Manual Garis Panduan Piawaian Perancangan Selangor,” katanya.

-NFN-