Categories
SELANGOR

97 keluarga mangsa banjir terima bantuan RM1,000

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 97 keluarga mangsa banjir fenomena air laut pasang besar di Dun Sementa, menerima sumbangan sekurang-kurangnya RM1,000 setiap keluarga.

Sumbangan terbabit disampaikan Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi dalam Majlis Penyerahan Sumbangan diadakan di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali Batu 4, Kapar.

Selain wang tunai, mangsa dari Kampung Tok Muda dan Kampung Batu 4 turut menerima barang keperluan asas dan kipas angin.

photo-15Selain sumbangan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa itu beberapa agensi kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut bermurah hati menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa.

Antaranya Pejabat Daerah Dan Tanah Klang, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Pertubuhan IKRAM Selangor (Klang), SYABAS dan Aerofront City serta Yayasan Islam Darul Ehsan.

Terdahulu, fenomena pertama air pasang besar berlaku pada Oktober mencecah ketinggian 5.2 meter.

Manakala, pertengahan November lalu, ketinggian air meningkat sehingga paras 5.6 meter dan terus meningkat hingga 5.7 meter.

Kampung Tok Muda dan Kampung Batu 4, Kapar merupakan antara kawasan di Selangor yang dilanda banjir menyebabkan harta benda penduduk rosak teruk.

-nR-