Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar di lima daerah terkawal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 NOV: Keadaan air pasang besar di lima daerah di negeri ini adalah terkawal dengan limpahan air hanya pada kadar minimum.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, setakat ini hanya di Batu 5, Kapar, Klang dan daerah Sabak Bernam berlaku limpahan air, namun surut dalam tempoh segera.

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan persiapan rapi oleh pelbagai pihak sebelum ini terutama pembinaan benteng yang lebih kukuh.

“Setakat ini, keadaan kejadian ini terkawal dan fenomena air pasang besar di Selangor setakat ini hanya membabitkan penduduk di sekitar daerah Klang,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, hanya 144 orang dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir setakat pukul 8 pagi ini.

2a69686b-f8ca-4756-8476-f56fdff03ba7Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor memaklumkan seramai 117 mangsa membabitkan 43 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Kapar manakala 27 mangsa membabitkan empat keluarga di Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang.

“Sehingga kini, fenomena air pasang besar yang melanda setinggi 5.5 meter di kawasan pesisir pantai di Selangor hanya menyebabkan penduduk di sekitar Klang dipindahkan.

Pusat pemindahan di daerah lain seperti di Sabak Bernam belum lagi dibuka,” katanya.

Fenomena air laut pasang besar dilaporkan akan berlaku selama lima hari bermula hari ini di beberapa kawasan pesisir pantai Selangor dengan ketinggian paras air dijangka mencecah sehingga 5.6 meter.

Dua daerah iaitu Klang dan Sabak Bernam dikategorikan sebagai zon merah atau kawasan berisiko tinggi dilanda banjir manakala tiga daerah lagi iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang sebagai zon kuning, kawasan berisiko sederhana.

Terdahulu, Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata penduduk di kawasan Batu 5, Kapar berada dalam keadaan selamat dan terkawal berikutan air laut melimpah dengan kadar minimum.

Ban yang pecah di kawasan Batu 5, Kapar ekoran air pasang sebelum ini menyebabkan lebih 10 rumah dinaiki air.

-nR-