Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Belanjawan Najib sembunyikan muslihat menekan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini hanyalah muslihat untuk menaikkan harga bahan api dan minyak masak, kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedudukan ekonomi negara yang gawat kini kian meruncing dan membebankan rakyat. Selang dua minggu setelah Bajet 2017 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, harga minyak mentah dan minyak masak dinaikkan dengan kadar melampau tinggi.

“Bajet tidak telus dan menyembunyi muslihat kenaikan harga yang membebankan rakyat. Minyak masak adalah hasil keluaran negara,” kata Anwar dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Jelasnya tindakan itu jelas membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih memihak kepada konglimerat kaya dan bukannya rakyat terbanyak.

Katanya, kerajaan sepatutnya menjalankan usaha mengadakan perbincangan dengan pengeluar besar dalam negara bagi memastikan sejumlah kecil pengeluaran diperuntukkan untuk pengguna dalam negara dengan harga terkawal.

-nR-